Kriteria standard pemikiran

Thursday, October 23, 2008

Kriteria ’Kejelasan’ merujuk kepada sejauh mana penaakulan tersebut dapat difahami dengan huraian atau penerangan yang jelas dan contoh-contoh yang dapat menerangkan penaakulan tersebut. Soalan-soalan di sini termasuklah ”bolehkah kita menerangkannya dengan lebih lanjut?, Bolehkah kita memberikan contoh-contoh yang memudahkan kita memahaminya.

Kriteria ’Ketepatan’ pula merujuk kepada sejauh mana penaakulan tersebut bebas daripada ralat. Penaakulan tersebut seharusnya boleh ditentukan sama ada ia benar atau tidak. Soalan-soalannya termasuklah ’Bolehkah kita mengesahkan kebenarannya? Bagaimana kita boleh pastikan bahawa ia benar?’

Kriteria keterperincian merujuk kepada sejauh mana penaakulan dijelaskan secara terperinci. Kriteria ini lahir hasil dari kesedaran bahawa kita memerlukan maklumat yang terperinci dan khusus untuk memudahkan kita memahami sesuatu.

Kriteria logik pula merujuk kepada sejauh mana penaakulan kita munasabah dan boleh diterima. Kriteria relevan berkaitan dengan isu sejauh mana maklumat itu relevan dengan isu yang ditangani.

Kriteria mendalam dan luas juga berkaitan dengan kecukupan maklumat di mana kriteria mendalam merujuk kepada sejauh mana kita telah mengambil kira semua kompleksiti yang berkaitan dengan isu yang ditaakul. Soalan-soalan seperti apakah kesukaran atau masalah yang berkaitan dengan isu ini yang perlu dipertimbangkan, apakah antara kompleksiti yang perlu dipertimbangkan berkaitan dengan isu ini?.
kriteria sama ada penaakulan kita cukup luas merujuk kepada sejauh mana kita telah memikirkan isu tersebut dari pelbagai sudut pandangan atau dilihat dari beberapa cara yang berbeza.

Akhir sekali kriteria adil merujuk kepada sejauh mana kita bebas daripada kepentingan peribadi atau bias kepada sudut pandangan yang tertentu.

Melalui aplikasi yang teliti dan berhati-hati kriteria yang dibincangkan tersebut ke atas pemikiran kita, kita dapat menghasilkan penaakulan yang berkualiti. Dalam perbincangan ini, pemikiran kritikal merujuk kepada usaha-usaha pelajar menilai semula hasil pemikiran atau tindakan yang hendak dan ingin dijalankan berkaitan dengan proses pembelajarannya. Pembinaan Standard/kriteria penilaian bagi setiap peringkat metakognisi perlu dioperasikan untuk memandu proses mengakses, memilih dan mempelajari bahan yang diakses daripada Internet.

Daripada: Dr. Siti Fatimah Mohd Yassin dan Dr. Saemah Rahman

0 comments: